Selasa, 24 Disember 2013

Kertas kotor yang renyuk


"Kau bina dinding tinggi sangat. Aku pun takut mahu panjat", luah Arel suatu petang.

Aku membuang pandang ke arah lapangan depan mata. Seandainya aku punya pilihan; sama ada untuk berterusan membina dinding yang lebih tinggi ataupun merobohkannya sedikit biar padan dengan langkahmu, pasti aku pilih yang kemudian itu.

"Kenapa diam?", tanyanya.

"Kalau aku ulas, pasti ulasannya panjang. Kalau aku cerita, pasti ceritanya meleweh. Kalau aku senyap, nah kau pula bertanya. Yang mana satu patut aku lakukan?"

Arel mengeluh pendek. Ah! Seandainya aku mampu untuk tak jadi sebab mengapa dia mengeluh.

"Kau patut tahu yang apa jua ulasan kau, aku akan dengar. Kau patut tahu meleret mana pun cerita kau, aku pasti teliti. Dan kau patut tahu kalau kau senyap, mustahil aku akan mengerti. Jadi kau rasa apa yang patut kau lakukan?"

"Aku--"

"Cerita, Nadhirah. Cerita. Aku bukan ahli nujum yang mampu tahu apa yang kau rahsia. Aku bukan Tuhan yang mampu untuk ada dengan kau setiap ketika. Aku cuma mahu ada, bila kau perlu aku. Aku cuma mahu kau tahu walau apa pun suka gembira duka kau, aku ada. Jadi kenapa? Kenapa bina dinding tinggi tinggi?", Arel pandang aku begitu tegas, matanya seolah menuntut suatu jawapan.

"Aku dah penat lah. Aku dah penat. Kau umpamakan aku sebuah kertas. Kertas putih bersih tak renyuk licin elok. Setiap kali seorang stranger datang, digariskan satu baris pada kertas. Setiap satu stranger, satu baris. Tamat suatu tempoh, stranger yang mungkin sudah dinaiktaraf menjadi teman, akan pergi tinggal aku. Maka dipadamkan baris yang mereka sendiri garis. Berapa ramai kau kira stranger yang datang dekat dengan aku? Apa tak renyuk kertas putih bila terlalu ramai mula memadam baris baris karbon yang mereka garis? Apa tak berbekas kertas putih dengan sisa karbon yang tak hilang dipadam getah?

Serupa itu juga, Arel. Serupa itu juga hati aku. Kerana aku terlalu berasa takut untuk sebuah perkenalan, kerana itu juga aku menahan diri aku sendiri daripada mencipta begitu banyak perkenalan. Dunia ini mudah. Setiap yang berjumpa, pasti akan berpisah. Setiap bintang yang lahir, pasti akan mati. Setiap cinta yang wujud, pasti akan pudar. Begitu juga kita, dan semua.

Aku ini luarnya teguh. Aku ini luarnya tegap. Dalamku rapuh, hati aku ranap. Kerana aku telah dilahirkan begitu rupa; begitu mudah merasa seolah stranger yang datang bakal jadi pasakku yang teguh, bila ia pergi aku akhirnya roboh.

Ini analogi aku. Seorang aku yang mungkin kau sendiri belum cukup kenal titik kerapuhannya."

Arel senyum sendiri. Dan pandangannya kini sebatang pokok besar dengan dedahan yang rimbun.

"Senang cerita, kerana terlalu sering aku menjadi teguh, aku telah menjadi seorang penakut. Heh," aku membuat pengakuan.

"Tak mudah juga untuk aku ceritakan semuanya kepada semua. Banyak orang boleh rasa dan beranggapaan seolah olah ia kenal aku. Seolah olah kita semua zarah zarah bumi yang begitu rapat. Umpama kita semua diikat dengan bonding yang begitu erat. Siapa yang betul betul kenal aku? Tak ada pun."

Arel masih senyap, seolah olah berkira kira untuk bercakap. Aku masih dengan penyesalan kerana terlalu bercerita. Masih dengan penyesalan kerana terlalu membuka ruang di hati dengan bercerita. Haih.

"Nad, boleh aku tanya sesuatu?"

Aku mengangguk dan terus mencabut rumput rumput yang jadi permaidani duduk kami.

"Selalu apa orang buat dengan kertas kotor yang renyuk eh?"

Eh? Aku pandang Arel dengan rupa terkejut dan sedikit terpinga. Soalannya langsung aku tak duga. Aku berfikir seketika. Buang?

Arel menggeleng dan tersengih lagi. Diangkat sedikit cermin mata yang hampir lurut.

"Heh. Kertas renyuk yang kotor, orang buang je. Tak pun orang buat kira kira. Lagi sadis orang buat balut nasi lemak. Haha. Nak buat apa lagi dengan kertas renyuk yang kotor. Tak ada perkara baik pun yang boleh buat dengan kertas renyuk yang kotor. Kalau aku pun--

"Kau nak kahwin dengan aku?", tanya Arel dan menghulurkan sesuatu.

"--aku buang", aku menghabiskan ayat dan pandang Arel dengan tanda soal lagi.

"Aku mungkin seorang stranger yang dah menggariskan satu baris pada sehelai kertas putih yang dulu pernah licin bersih. Tapi izinkan aku menggariskan setiap inci kertas putih biar jadi lagi padat dari kertas graf yang kita pernah jumpa, biar tak ada ruang untuk garis garis lain. Dan izinkan juga aku menggariskan baris baris dengan pen biar tak boleh dipadam".

"Ceh, siapa kata? Liquid paper kan ada", dan aku hadiahkan sengih gembira kepada Arel.

Arel menjeling sedikit. "Hm. Nak aku hadiahkan pembaris besi untuk hantaran? Boleh kau gores andai aku guna liquid, hahaha".

"Jiwang lah kau ni!", jerit aku pada Arel dan kenyit mata dan berjalan ke arah kereta. Ah, terima kasih Tuhan untuk hadiahmu. Terima kasih.



Isnin, 23 Disember 2013

kita tentang lukisan yang kepudaran



Cuma dengan satu mimpi
Kau buat aku tak keruan satu hari.
Cuma dengan satu hari
Kau buat aku tunggu sapaanmu sampai pagi.

Cuma dengan satu mimpi.
Kita ibarat lukisan yang lekang dek matahari.

Awal lukisan, kita begitu nyata
begitu hidup untuk aku sendiri tertanya,
apa muat tangan kiriku di seluk tangan kananmu?
apa muat senyum ku dengan bingkai bibirmu?

Awal lukisan, kita begitu berwarna
begitu hidup untuk aku sendiri rasa;
merah pipi bila kau hadiahkan senyum
dengan rerama yang begitu subur dalam perasaanku.

Cuma dengan satu mimpi
kau dah penuhi ruang lohong dalam hati
kau dah penuhi bait bait permintaanku buat Tuhan

Akhir lukisan, kita begitu kepudaran
seolah warna itu tak pernah kita beruskan
seolah mimpi itu tak pernah datang menjengah;
tak pernah datang tak pernah terkisah.

Kita adalah persona sebuah mimpi
yang dilukis tentang bahagianya seorang aku dengan hangat tanganmu
yang dilukis tentang rapuhnya seorang aku dengan dingin tuturmu.

Aku biar lukisan lekang dek matahari
sama seperti mimpi tentangmu yang tak pernah jenguk kembali.


Ahad, 15 Disember 2013

Kita ini definisi barangkali


Sama seperti bintang bintang bergantungan
yang hilang gemerlapnya bila bulan karam;
sama seperti bulan yang mencair
tunggu matari datang;
seperti itu jugalah aku, sama puisi puisiku
tunggu hulur tangan kamu.

Seperti tikar sore yang digulung perlahan bila senja menjelang,
seperti kelambu malam yang dikuak lembut bila subuh datang,
seperti itu juga aku melalui hari hari penuh berhati hati
biar sedia siap semuanya bila kau tiba tiba tarik pergelangan tanganku.

Sama seperti pungguk yang cuma mampu sahut sahutan rindu yang ia sendiri tiada tertahan;
begitu jua lah aku yang cuma mampu menulis sebaris dua perkataan yang aku sendiri tiada terbayangkan.

Kita ini mungkin serupa.
Tentang sekotak hati dan segala isinya.
Kita ini juga mungkin serupa;
tentang simpul simpul tali yang tak terlerai ikatannya;
mati.

Kita ini definisi barangkali.
Yang cuma mampu aku hadirkan dalam mimpi-mimpi.
Yang cuma wajar aku bayangkan tiap tiap sudut senyum,
tiap tiap hangat sentuh dan tiap tiap kerut muka,
dalam arkib mimpi mimpiku tika malam hari.


Jumaat, 6 Disember 2013

sebelah tangan yang beda


Sekuat mana tepuk tangan kanan
tak dibalas tak berbunyi?
Sejauh mana lompat bangunan tinggi
tak disambut tak terluka?

Sama sakitnya.

Ada orang untuk kau tepuk bersama
Ada orang untuk lompat bersama
atau sebaliknya; serupa.

Itu sama ada kau, atau dia yang luka.

Senyumlah sendiri, pura pura bercinta dengan hati
Kononnya hati sendiri dah jumpa yang sebelah lagi.
Pura puralah gembira.
Kononnya kau dah tak mungkin akan rasa duka.

Tak apa. Bodoh cuma kita yang rasa.
Tak apa. Pilu cuma kita yang tercalar jua.
Sikit sikit, apa beza?

Bercinta berdua juga serupa.
Kau tepuk sendiri juga sama.
Apa yang beza?

Apa yang dia ada sebenarnya untuk buat kau  rasa beda?
Apa yang dia ada sebenarnya untuk bikin kau jadi gila?
Apa yang dia ada?

Ah! Perasaan..
Dia pernah tahu apa kau rasa?
Meski kau tak pernah kata apa apa?

Mungkin jika dia baca di antara baris baris ayat yang kau pernah kata.
Mungkin ada.
Mungkin.

Itu pun kalau dia;
baca di antara keduanya.

Dan jika sebaliknya,
serupa.
Takkan ada apa yang beza.

Gambang, Disember '13