Rabu, 13 November 2013

Tebing bata



Bata bata ini hampir aku susun sama tinggi
sama lebar sama panjang.
Aku tutupkan dengan lapisan konkrit biar teguh
biar tak roboh.
Aku lapiskan dengan plaster dan aku warnakan;
dengan warna kesukaanmu.

Biar teguh buat sandaran tubuh belakangmu
biar selesa buat jadi pelepas lelah hari harimu.

Meskipun ada titis titis peluh yang terhasil
tika aku gigih bina dinding buatmu
maka biar ia mengering dengan rasa bunga bunga 
yang terbit dari setiap hati hati kita.

Bersandarlah--
pada tebing bata yang aku bina.

Berceritalah--
segala perihal sulitmu.

Berkongsilah--
semua suka sedih yang bergumpal.

Kerana aku mahu terus terusan
jadi pasakmu yang paling teguh.
Kerana aku mahu terus terusan
jadi tenagamu yang takkan lumpuh.

Kerana aku juga mahu terus terusan
jadi matari yang terbitkan senyummu
dan angin angin lembut yang pejamkan matamu.