Selasa, 24 Disember 2013

Kertas kotor yang renyuk


"Kau bina dinding tinggi sangat. Aku pun takut mahu panjat", luah Arel suatu petang.

Aku membuang pandang ke arah lapangan depan mata. Seandainya aku punya pilihan; sama ada untuk berterusan membina dinding yang lebih tinggi ataupun merobohkannya sedikit biar padan dengan langkahmu, pasti aku pilih yang kemudian itu.

"Kenapa diam?", tanyanya.

"Kalau aku ulas, pasti ulasannya panjang. Kalau aku cerita, pasti ceritanya meleweh. Kalau aku senyap, nah kau pula bertanya. Yang mana satu patut aku lakukan?"

Arel mengeluh pendek. Ah! Seandainya aku mampu untuk tak jadi sebab mengapa dia mengeluh.

"Kau patut tahu yang apa jua ulasan kau, aku akan dengar. Kau patut tahu meleret mana pun cerita kau, aku pasti teliti. Dan kau patut tahu kalau kau senyap, mustahil aku akan mengerti. Jadi kau rasa apa yang patut kau lakukan?"

"Aku--"

"Cerita, Nadhirah. Cerita. Aku bukan ahli nujum yang mampu tahu apa yang kau rahsia. Aku bukan Tuhan yang mampu untuk ada dengan kau setiap ketika. Aku cuma mahu ada, bila kau perlu aku. Aku cuma mahu kau tahu walau apa pun suka gembira duka kau, aku ada. Jadi kenapa? Kenapa bina dinding tinggi tinggi?", Arel pandang aku begitu tegas, matanya seolah menuntut suatu jawapan.

"Aku dah penat lah. Aku dah penat. Kau umpamakan aku sebuah kertas. Kertas putih bersih tak renyuk licin elok. Setiap kali seorang stranger datang, digariskan satu baris pada kertas. Setiap satu stranger, satu baris. Tamat suatu tempoh, stranger yang mungkin sudah dinaiktaraf menjadi teman, akan pergi tinggal aku. Maka dipadamkan baris yang mereka sendiri garis. Berapa ramai kau kira stranger yang datang dekat dengan aku? Apa tak renyuk kertas putih bila terlalu ramai mula memadam baris baris karbon yang mereka garis? Apa tak berbekas kertas putih dengan sisa karbon yang tak hilang dipadam getah?

Serupa itu juga, Arel. Serupa itu juga hati aku. Kerana aku terlalu berasa takut untuk sebuah perkenalan, kerana itu juga aku menahan diri aku sendiri daripada mencipta begitu banyak perkenalan. Dunia ini mudah. Setiap yang berjumpa, pasti akan berpisah. Setiap bintang yang lahir, pasti akan mati. Setiap cinta yang wujud, pasti akan pudar. Begitu juga kita, dan semua.

Aku ini luarnya teguh. Aku ini luarnya tegap. Dalamku rapuh, hati aku ranap. Kerana aku telah dilahirkan begitu rupa; begitu mudah merasa seolah stranger yang datang bakal jadi pasakku yang teguh, bila ia pergi aku akhirnya roboh.

Ini analogi aku. Seorang aku yang mungkin kau sendiri belum cukup kenal titik kerapuhannya."

Arel senyum sendiri. Dan pandangannya kini sebatang pokok besar dengan dedahan yang rimbun.

"Senang cerita, kerana terlalu sering aku menjadi teguh, aku telah menjadi seorang penakut. Heh," aku membuat pengakuan.

"Tak mudah juga untuk aku ceritakan semuanya kepada semua. Banyak orang boleh rasa dan beranggapaan seolah olah ia kenal aku. Seolah olah kita semua zarah zarah bumi yang begitu rapat. Umpama kita semua diikat dengan bonding yang begitu erat. Siapa yang betul betul kenal aku? Tak ada pun."

Arel masih senyap, seolah olah berkira kira untuk bercakap. Aku masih dengan penyesalan kerana terlalu bercerita. Masih dengan penyesalan kerana terlalu membuka ruang di hati dengan bercerita. Haih.

"Nad, boleh aku tanya sesuatu?"

Aku mengangguk dan terus mencabut rumput rumput yang jadi permaidani duduk kami.

"Selalu apa orang buat dengan kertas kotor yang renyuk eh?"

Eh? Aku pandang Arel dengan rupa terkejut dan sedikit terpinga. Soalannya langsung aku tak duga. Aku berfikir seketika. Buang?

Arel menggeleng dan tersengih lagi. Diangkat sedikit cermin mata yang hampir lurut.

"Heh. Kertas renyuk yang kotor, orang buang je. Tak pun orang buat kira kira. Lagi sadis orang buat balut nasi lemak. Haha. Nak buat apa lagi dengan kertas renyuk yang kotor. Tak ada perkara baik pun yang boleh buat dengan kertas renyuk yang kotor. Kalau aku pun--

"Kau nak kahwin dengan aku?", tanya Arel dan menghulurkan sesuatu.

"--aku buang", aku menghabiskan ayat dan pandang Arel dengan tanda soal lagi.

"Aku mungkin seorang stranger yang dah menggariskan satu baris pada sehelai kertas putih yang dulu pernah licin bersih. Tapi izinkan aku menggariskan setiap inci kertas putih biar jadi lagi padat dari kertas graf yang kita pernah jumpa, biar tak ada ruang untuk garis garis lain. Dan izinkan juga aku menggariskan baris baris dengan pen biar tak boleh dipadam".

"Ceh, siapa kata? Liquid paper kan ada", dan aku hadiahkan sengih gembira kepada Arel.

Arel menjeling sedikit. "Hm. Nak aku hadiahkan pembaris besi untuk hantaran? Boleh kau gores andai aku guna liquid, hahaha".

"Jiwang lah kau ni!", jerit aku pada Arel dan kenyit mata dan berjalan ke arah kereta. Ah, terima kasih Tuhan untuk hadiahmu. Terima kasih.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan