Selasa, 30 Julai 2013

Bintang jatuh


Kehadapan cahaya bintang yang tertumpah,
ini aku terbangkan sikit sikit perca hati aku yang pecah.
Tersemadilah!

Kehadapan ombak yang begitu lelah,
ini aku hanyutkan zarah zarah sisa kasih yang punah.
Terkuburlah!

"Terangkan malam malamku!," jerit hati.

Dan tetiba terlintas bintang jatuh,
Seolahnya ada harapan yang terbit juga buat aku.


(Ini aku karangkan 
buat isi langit dan bumi yang wujudnya misteri; 
buat cinta dan benci yang kelahirannya disalah erti; 
dan buat kau juga yang sedang main sembunyi sembunyi.)

Isnin, 22 Julai 2013

Escapism


Bila dada kau tak lagi senang tak lagi tenang
Apa yang kau rasa cuma dada yang sesak.
Semak.

Apa yang kau rasa cuma perasaan bullshit yang makan setiap inci hati.
Dan kalau boleh dada tu kau kobek kobek
Sampai akhirnya kau genggam segumpal perasaan sesak yang semak.

Kau genggam dan kau tenang perlahan.
Apa hebat sangat segumpal perasaan yang bikin kau sesak.
Apa hebat sangat segumpal perasaan yang bikin dada kau rabak.
Apa yang hebat sangat.

Ini mancis. Dan ini sebotol alkohol.
Kau tuang perlahan dengan senyum pada bibir
Seolah bahagia meraikan "kematian" segumpal perasaan.

Bodoh.
Kau tak ada Tuhan?

Apa dengan bakar perasaan hati kau bakal tenang tak lagi keruan?

Ini zikir. Dan ini senaskhah utusan Tuhan.
Kau baca perlahan dengan gelisah dalam hati.
Tertanya, apa Tuhan bakal pandang kau lagi?

Faith.

Kerana melukis dosa bukan escapism.

Ini escapism; lafaz cinta dari Tuhan.
Di mana engkau sendiri yakin dengan janjiNya.
Dan engkau sendiri percaya pada butirNya.

Ramadan 13.
Rumah. 


Sabtu, 20 Julai 2013

Bulan Cair


Dan termangu aku di satu penjuru dunia
Kelihatannya, sendiri.
Bertemankan langit biru pekat yang penuh bintang bergantungan
Juga sang bulan yang terang perasaannya.

Dan terduduk aku seketika
Memikir mana puisi puisi dulu yang kita karang bersama
Mencari mana ilham dulu yang datang bila kita berdua.

Lalu bercintalah kita dengan tulisan
Berkasihlah kita dengan bait indah yang lahir dari perasaan;
yang sama.

Maka terus terusan kita menulis
dengan cinta
dengan bait bait kata yang cuma kita dua tahu makna.

Seolah dunia ini kita yang punya,
malam malam kita berdua dengan bulan terang.
Asyik kita melukis kata, ketawa, gembira, suka.

Bulan hampir mencair.

Dan aku masih duduk di penjuru itu.
Penjuru kita dulu.
Yang kini hanya aku, dengan langit pekat warna biru.
Dengan puisi yang sudah kebasahan penuh titis titis cahaya bulan yang cair.

Dan begitulah akhirnya.
Aku, di penjuru dunia menunggu bulan hilang lenyap sampai bila bila.

Kerana sama seperti engkau juga,

cinta kita tak lagi sama.
Dan rasa sepi ini, malangnya cuma aku yang rasa.

Lalu di antara kelip kelip bintang,
bersama sama bulan; aku juga turut hilang.