Rabu, 13 November 2013

Tebing bata



Bata bata ini hampir aku susun sama tinggi
sama lebar sama panjang.
Aku tutupkan dengan lapisan konkrit biar teguh
biar tak roboh.
Aku lapiskan dengan plaster dan aku warnakan;
dengan warna kesukaanmu.

Biar teguh buat sandaran tubuh belakangmu
biar selesa buat jadi pelepas lelah hari harimu.

Meskipun ada titis titis peluh yang terhasil
tika aku gigih bina dinding buatmu
maka biar ia mengering dengan rasa bunga bunga 
yang terbit dari setiap hati hati kita.

Bersandarlah--
pada tebing bata yang aku bina.

Berceritalah--
segala perihal sulitmu.

Berkongsilah--
semua suka sedih yang bergumpal.

Kerana aku mahu terus terusan
jadi pasakmu yang paling teguh.
Kerana aku mahu terus terusan
jadi tenagamu yang takkan lumpuh.

Kerana aku juga mahu terus terusan
jadi matari yang terbitkan senyummu
dan angin angin lembut yang pejamkan matamu.

Selasa, 22 Oktober 2013

Tunjuk arah


Katakanlah pada setiap jasad yang kau temu
Katakanlah pada setiap senyum yang kau terima
Katakanlah pada setiap hangat sentuh yang kau rasa
Katakanlah
Katakanlah apa yang kau rasa.

Pada setiap cara, pada setiap suara
pada setiap kata, pada setiap layanan.

Katakanlah apa yang kau rasa.

Aku punya hati, kau juga punya satu.
Aku punya rasa, kau juga punya yang serupa.
Hati aku besi, hati kau pula apa?

Katakanlah apa yang kau rasa.
Untuk setiap apa yang kau lafaz.
Untuk setiap apa yang kau buat.
Untuk setiap apa yang kau sentuh.
Jasmani atau rohaninya.
Apa kau mahu tanggung kalau dia jatuh cinta?

Serupa tunjuk arah yang berteraburan sepanjang jalan
hati aku mengatakan kau lah petunjuk arah yang tak menyesatkan.

Maka katakanlah
halakanlah hati hati kita pada suatu daerah yang hidup dan matinya
cuma kita yang tahu.

Maka tersemadilah hati hati kita
yang mati
yang bercinta

yang besi
dan yang pegun rasanya.


Jumaat, 27 September 2013

Ini, tanganku


Apa kumbang yang menari itu merupakan temanmu?
Apa angin yang hembus sayup sayup itu merupakan tawamu?
Apa ada lagi rentak rentak hati kita
yang berdetak dengan rentak yang sama?

Apa ada lagi cerita cerita tidur kita
yang berkisarkan kisah yang sama?

Berhentilah mendukung harap
Berhentilah mencintai setiap sudut sudut harapan
Harapan palsu yang kau jinjing
Harapan dusta yang kau peluk
yang kau dakap sampai kau sendiri tak mampu leraikannya.

Tak siapa tahu lama mana kau mampu berdiri
tak siapa tahu lama mana hati kau mampu tanggung
tak siapa tahu sebesar mana sunyi yang kau peluk.

Hembuskanlah
Terbangkanlah
Buangkan
Lenyapkan debu debu hitam
yang sesat, yang berselirat dalam buluh buluh darah.

Ke mari hulurkan tanganmu.
Kau rasa hangat tanganku?
Itu harapan. Itu harapan untukmu.

Harapan, bahawa selagi ada hangat tanganku
selagi itu ada aku, untukmu.

Gambang
27 September.